Assalammualaikum w.r.t buat kawan-kawan tersayang,
Jodoh, pertemuan, ajal dan maut semua di tangan Allah S.W.T. Betul kata semua orang, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Tetapi hanya Allah sahaja yang berhak menentukan samada segala perancangan kita itu menjadi realiti ataupun tidak. Kadang-kadang, realiti tak seindah fantasi yang kita impikan. Namun, kita perlu menghadapinya dengan tabah dan redha. Itulah fatamorgana dunia yang Allah ciptakan buat kita.
Empat tahun yang lalu, dengan izin Allah..seorang lelaki dan seorang gadis telah bertemu dan berkenalan. Gadis itu pada mulanya langsung tidak menunjukkan minat untuk berkenalan dengan lelaki itu apatah lagi untuk menjalinkan persahabatan. Sehinggalah pada suatu hari, si gadis telah membantu rakan baiknya untuk bertanyakan sesuatu kepada lelaki itu di telefon. Pertama kali mereka berbual, pertama kali mereka mendengar suara masing-masing walaupun si lelaki ketika itu masih belum mengenali si gadis. Pada petang hari yang sama, si gadis bersama rakan-rakannya melintasi di hadapan si lelaki. Entah kenapa si lelaki seolah-olah dapat menganggak bahawa si gadis itulah yang telah berbual dengannya di telefon tadi. Lama mereka berdua berpandangan. Akhirnya, masing-masing berlalu pergi.
Pada suatu hari, si lelaki telah menghilangkan diri. Si gadis tertanya-tanya sendiri kemanakah si lelaki menghilang. Pada saat itu, si gadis sudah merasakan sesuatu yang susah untuk dia sendiri fahami. Setiap hari dia berharap si lelaki akan kembali. Hampir seminggu menghilangkan diri, akhirnya si lelaki kembali. Si gadis sangat bahagia dengan kepulangan si lelaki walaupun dia sendiri tidak mengerti kenapa rasa bahagia itu wujud. Dengan izin Allah, mereka akhirnya berkenalan dengan rasminya. Rakan baik si gadis yang juga merupakan rakan si lelaki telah memperkenalkan mereka. Akhirnya, mereka berpeluang bercakap secara berdepan, bukan lagi di dalam telefon seperti pertama kali dahulu. Sejak dari detik perkenalan itu, mereka sering berbalas pandangan apabila bertemu.
Rakan-rakan mereka semuanya berpendapat bahawa mereka banyak mempunyai persamaan. Kata mereka, ‘ampa ni macam ada chemistry la..’, ‘ampa ni muka seiras la..’ kata-kata rakan mereka itu telah membuatkan hati si gadis semakin yakin. Bagi si gadis, lelaki itu dah banyak memberi semangat, dan kebahagiaan pada dirinya. Namun, dirinya masih lagi ego untuk mengaku perasaan yang sebenar-benarnya wujud dalam dirinya. Sehinggalah pada suatu hari, si gadis mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya. Hati si gadis tidak tenang setelah mendapat tawaran tersebut walaupun itulah perkara yang diidam-idamkannya sejak dari bangku sekolah lagi. Entah kenapa hatinya sangat berat untuk menerima tawaran itu.
Akhirnya, demi masa depan..si gadis menerima tawaran tersebut. Saat-saat terakhir si gadis sebelum berpisah dengan si lelaki, mereka masing-masing menjadi pendiam. Saat-saat itu menjadi semakin sukar bagi si gadis kerana selepas itu, dia dan si lelaki mustahil untuk bertemu kembali. Hampir setiap hari, si gadis menangis bila memikirkan hal itu. Si lelaki pula, semakin menjadi pendiam dan langsung tidak menegur si gadis sehingga tibalah saat untuk si gadis pergi. Suasana ketika itu sangat suram dengan tangisan rakan-rakan si gadis yang tidak merelakan pemergiannya. Ketika si gadis mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya, secara tiba-tiba si lelaki datang menghampiri mereka. Si gadis sangat terkejut dengan kedatangan si lelaki. Si gadis sangat tidak menyangka si lelaki akan datang untuk mengucapkan selamat tinggal padanya. Tika itu, hanya Allah saja yang tahu betapa sedihnya hati si gadis untuk berpisah dengan si lelaki.
Si lelaki berpesan buat yang terakhir kalinya untuk si gadis, ‘belajaq rajin-rajin.jangan lupa kami semua kat sini ‘. Kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga si gadis sehingga ke hari ini. Sebulan selepas si gadis menyambung pelajaran, si lelaki juga telah mendapat tawaran menyambung pelajaran di luar negara. Dan kali ini, mereka terpisah semakin jauh. Sebelum si lelaki berangkat ke luar negara, mereka sempat berbual-bual di telefon. Si lelaki telah memberitahu si gadis supaya jangan menunggu dirinya kerana dia sudah mempunyai pilihan hatinya sendiri. Si gadis sangat menghormati jawapan yang si lelaki itu berikan padanya. Sesungguhnya demi Allah, dia merelakan perhubungan si lelaki dengan gadis pilihannya walaupun hatinya begitu terluka dengan pernyataan si lelaki. Sejak itu, mereka terputus hubungan antara satu sama lain. Si gadis meneruskan hidupnya dengan memori antara dia dan si lelaki.
Dan kini, setelah empat tahun…si gadis masih tidak dapat melupakan si lelaki. Si gadis telah menyandarkan kebahagiaannya pada lelaki itu hanya kerana Allah Taala. Bagi dirinya, jika si lelaki itu bahagia itu sudah mencukupi untuk membuatkan dirinya juga bahagia. Si gadis sentiasa mengirimkan salam rindu pada si lelaki dalam setiap doanya. Hanya Allah saja yang tahu betapa rindunya si gadis pada si lelaki. Si gadis sentiasa berharap si lelaki tidak akan melupakan dirinya sebagai seorang sahabat yang dia pernah kenali dulu. Itu saja harapan si gadis.